Friday, April 16

Pengampunan Dari Tengku Mahkota

Ingat lagi tak aku pernah up entry pasal remaja ditahan sebab mengaku anak angkat Tengku Mahkota tu? Kalau tak ingat, klik sini ya..

Cerita terbaru pula, nampaknya Tengku Mahkota berkenan untuk mengampunkan remaja tersebut dengan bersyarat.. Alhamdulillah lah.. Tindakan undang-undang ke atas remaja tu juga akan ditarik balik. Tak best la pula kalau tak ada petikan berita kan?? So.. ini dia..

------------------------------------------------------------------------

KUANTAN 15 April - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengampunkan seorang pelajar cemerlang yang menyamar sebagai 'Tuan Muda' sekiranya dia memohon maaf dan membuat akujanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Baginda bertitah, pihak istana tidak akan membuat sebarang tindakan susulan sekiranya remaja tersebut bertanggungjawab ke atas perbuatannya yang menjejaskan nama istana.

"Dia perlu memohon maaf kepada saya, keluarga saya dan seterusnya membuat akujanji serta bersetuju mendapatkan rawatan kaunseling dalam tempoh yang akan ditentukan oleh polis.

"Bagaimanapun, dari segi undang-undang perbuatan tersebut iaitu menyamar tetap salah walaupun tujuan dia hanya mahu melihat perjalanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"Oleh itu, tindakan undang-undang ke atasnya ditarik balik tetapi bersyarat dan dia perlu mematuhinya. Dia perlu memaklumkan kepada polis dan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu berjumpa dengan saya," titah baginda selepas mengunjungi mangsa simbahan asid di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Baginda mengulas desas-desus menyatakan bahawa laporan polis terhadap pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyamar sebagai kerabat diraja Pahang akan ditarik balik dan remaja berkenaan tidak akan didakwa.

Jumaat lalu, pelajar itu ditahan polis kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang bagi membolehkannya mengadakan lawatan ke semua kem PLKN di negeri ini.

Pelajar terbabit menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang dengan memakai gelaran 'Tuan Muda'.

Bagaimanapun, penyamaran remaja itu terbongkar apabila salah seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating di sini yang juga rakan sekolahnya mengetahui identiti sebenarnya.

Menurut Tengku Abdullah, semua pihak tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana pihak terutama PLKN apabila kes sedemikian berlaku.

"Seharusnya kita memperhalusi kenapa perkara itu berlaku dan jangan mudah menghukum mana-mana pihak atas apa yang dilakukan remaja itu.

"Jika ada kelemahan di peringkat PLKN, saya harap mereka dapat melakukan sesuatu. Namun, dari mata kasar kelemahan itu tidak begitu ketara," titah baginda.

Ditanya sama ada baginda akan mempertimbangkan untuk menjadikan 'Tuan Muda' sebagai anak angkat, Tengku Abdullah hanya menyerahkan kepada keadaan.

"Jadi anak angkat itu isu lain pula, tengoklah keadaan, tetapi biarlah dia betulkan apa yang dia lakukan," titah baginda.

------------------------------------------------------------------------

Wow.. kalau lah Tengku Mahkota sudi ambil remaja tersebut jadi anak angkat, rasanya dah macam impian jadi kenyataan la buat remaja tersebut kan?? Apa-apa pun, yang pastinya PLKN seharusnya lebih berhati-hati supaya kejadian sebegini tidak akan berulang lagi buat masa akan datang..

3 comments:

  1. sapa ye owner blog ni?
    brhbung la dgn saya di zularif08@yahoo.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kunang2,dh dpt title tuan muda lom???hahaha...

      Delete
  2. Anonymous diatas la yg menyamar tu..hahaha..dh dpt title tuan muda lin???kunang2 btol..

    ReplyDelete

Komen anda dihargai, terima kasih ye.. singgah selalu